SEJARAH BATU ARANG
Batu Arang dulunya merupakan bandar perlombongan arang batu di Selangor, Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua hingga tahun 1960-an. Batu Arang berdekatan dengan Sungai Buloh, Rawang dan Batang Berjuntai.
Arang batu menjadi bahan bakar selain arang kayu dan kayu api. Ketika itu, Tanah Melayu tidak ada petroleum mahupun gas asli. Arang batu digunakan bagi menggerakkan kereta api sebagaimana di England.
Arang batu dilombong dengan mengorek lubang atau terowong di dalam tanah secara berperingkat-peringkat dan berlapis-lapis. Kaedah perlombongan ini amat berbahaya kerana tiang kayu sokongan mudah patah dan tanah akan runtuh. Pelombong akan terperangkap di dalam terowong, sesak nafas dalam gelap tanpa bekalan oksigen dan meninggal dunia.
Selain arang batu, Batu Arang juga dikenali dengan pengeluaran batu-batanya. Hari ini, ia tidak lagi membekalkan arang batu dan tidak lagi memainkan peranan penting. Ladang-ladang getah telah ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Hak milik ladang kini bertukar tangan kepada syarikat Guthrie dan Golden Hope Plantation.
Pada zaman darurat 1948-1960, Batu Arang menjadi lokasi pertempuran utama antara pengganas komunis dengan pihak tentera British. Pengganas komunis sengaja sabotaj pokok-pokok getah di ladang-ladang, rumah majikan orang putih, lombong-lombong dan sebagainya. Kedudukan Batu Arang di kawasan berbukit-bukau dan sistem jalan raya yang berliku-liku menyebabkan lokasi ini amat strategik untuk pengganas komunis. Antara ladang yang menjadi sasaran ialah Ladang Tuan Mee. Pada masa itu hampir kesemua ladang dimiliki oleh peladang British dan pekerjanya dibawa dari Ceylon (Sri Lanka).
Pihak British terpaksa mengambil ramai pemuda Melayu untuk menjadi Special Constable untuk mengawal lombong dan ladang-ladang ini. Operasi utama mereka ialah di pondok-pondok kawalan pada sebelah malam. Antara yang pernah bertugas sebagai Special Constable di Batu Arang ialah Abdul Hanif bin Mohd Baki pada 1952.
SEJARAH SEKOLAH
SEK. MEN. KEB. TUANKU ABDUL RAHMAN,
BATU ARANG.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, Selangor pada mulanya ialah sekolah Inggeris swasta, dengan nama Batu Arang English School. Batu Arang English School telah diasaskan oleh Encik Baktiar Singh pada tahun 1930an. Sekolah ini telah dikendalikan oleh Syarikat Perlombongan Batu Arang. Pada tahun 1942, ia telah diambil alih oleh pemerintah Jepun. Namun selepas tahun 1945, sekolah ini dikendalikan pula oleh Syarikat Malayan Colleried Limited (MCL).
Pada tahun 1959, kerajaan telah mengambil alih Batu Arang English School dan nama sekolah telah bertukar kepada Sekolah Rendah / Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris selepas aktiviti perlombongan arang batu ditutup. Menteri Besar Selangor, Dato’ Abu Bakar Baginda telah merasmikan sekolah ini pada tahun 1961. Mulai tahun 1966 bangunan ini dipisahkan dari sekolah rendah. Sembilan buah bilik darjah telah dibina pada tahun 1968.
Pada tarikh 22 Februari 1969, Menteri Pelajaran iaitu Encik Mohd Khir Johari telah merasmikan sekolah ini dengan nama baru iaitu Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman. Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman ialah sebuah sekolah yang unik kerana masih mengekalkan struktur binaan papan untuk bangunan yang menempatkan pejabat, bilik guru, bilik darjah, makmal dan pusat sumber. Jelaslah bahawa bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman ini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri yang patut menjadi kebanggaan kepada seluruh warga sekolah dan penduduk setempat.
Pada tahun 1983, kelas tingkatan 4 dibuka dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang pertama telah diadakan pada tahun 1985. Blok konkrit tambahan telah dibina pada tahun 1989 hingga 1991. Pada tahun 2001, sekolah buat kali yang pertama telah menerima Anugerah Cemerlang Pejabat Pelajaran Daerah Gombak bagi pencapaian cemerlang dalam keputusan PMR dan SPM bagi tahun 2000. SMKTAR juga telah berjaya mencatatkan kecemerlangan pencapaian peratusan keseluruhan PMR pada tahun 2007 dengan peratusan sebanyak 63.3%. Pada tahun yang sama juga SMKTAR telah menerima penghargaan dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS) bagi kategori Lonjakan Saujana.
Pada tahun 2010 SMKTAR telah mencapai lonjakan saujana sekali lagi apabila keputusan SPM 2009 diumumkan pada bulan Mac 2010. Pada tahun 2008 SMKTAR telah mendapat keputusan 71.7% dan pada tahun 2009 telah meningkat sebanyak 83.6% iaitu peningkatan sebanyak 21.9%. Dengan itu, pihak sekolah telah diberi sijil penghargaan daripada pihak PPD Gombak. Diharapkan dengan penghargaan daripada pihak PPD akan dapat membakar semangat guru-guru SMKTAR untuk terus berusaha meningkatkan prestasi pelajar-pelajar di sekolah ini. Sesungguhnya tiada yang mustahil sekiranya kita terus berusaha dengan gigih dan tanpa jemu dalam mendidik anak bangsa.
Pada hari ini SMKTAR dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana seperti bilik-bilik darjah, makmal komputer, makmal sains, kantin, surau, bilik pendidikan seni, bilik operasi buku teks, bilik bimbingan dan kaunseling, pusat sumber sekolah dan lain-lain lagi bagi kemudahan para pelajar menimba ilmu di sini. SMKTAR juga mempunyai 41 orang guru siswazah dan 5 orang kakitangan bukan guru.
SENARAI PENGETUA-PENGETUA SMKTAR
PENGETUA SWASTA (1930-1961)
1. En. Baktiar Singh
2. Mrs. Johnson
3. Mr. Nelson John
PENGETUA KERAJAAN
1. En. G. Jayaraman 1962-1963
2. En. S. Sreenivasan 1964-1965
3. En. K. Satkunasinggam 1966-1979
4. En. Durai Rajah 1980-1984
5. En. Aputharajah 1985-1986
6. Tn. Hj.Abd Shukor(memangku ) 1987-1988
7. En. Ghazali Othman 1987-1988
8. En. Hooi Weng Fatt 1988-1993
9. En. Mayandy Nadeson 1993-1995
10. En. Sadaperam 1996-1997
11. En. Rajendram Perumal 1997-1998
12. En. Baharum Sulaiman 1998-1999
13. Pn. Hjh. Saadah Othman 1999-2000
14. Tn. Hj. Mohd Sarib bin Sapie 2000-2004
15. Tn. Hj. Wahid bin Rais 2005-2006
16. Tn. Hj. Mohd Sarib bin Sapie 2006 - 2009
17. Pn. Ho Yip Leong (Memangku) 04.01.2010 – 31.03.2010
18. Pn. Norzida bt. Ab. Muin 01.04.2010 - sekarang
SENARAI KETUA PELAJAR SMKTAR
DARI TAHUN 1999 - 2010
1. Shanta Devi a/p Ratnam 1999
2. Mogana Ambigai a/p Subramaniam 2000
3. Haslinda bt Abdul Latif 2001
4. Mohd Faiz bin Azimi 2002
5. Rashidah bt Harun 2003
6. Shiyamala Dewi a/p Manokaran 2004
7. Preyma a/p Palanisamy 2005
8. Wong Swee Mee 2006
9. Muhammad Sharul Izham bin Ishak 2007
10. Wahyudin bin Makhtar 2008
11. Ku Norumirah bt Ku Azhar 2009
12. Mohd Syakir bin Mustapha Kamal 2010